Pasukan Liga Premier, Kelab Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) menggunakan falsafah ‘Melahirkan Bintang Kalangan Pemain Muda’ dalam mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan musim baharu.
Ketua jurulatih PDRM, Wan Rohaimi Wan Ismail merupakan individu yang bertanggungjawab menerapkan falsafah ini hasil daripada penglibatannya di dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selama 10 tahun serta keselesaan bekerja dengan pemain-pemain muda.
Disebabkan itu, PDRM dilihat gigih merekrut majoriti pemain muda pada jendela perpindahan kali ini. Malahan pemain import baharu yang bakal diikat oleh skuad Sang Saka Biru ini juga dikhabarkan tidak melebihi usia 30 tahun.
“Seperti mana musim lalu, falsafah yang saya mahu terapkan akan terus kekal iaitu saya mahu melahirkan bintang dalam kalangan pemain muda.
“Hanya lima pemain sahaja pemain dalam pasukan ini yang boleh dikatakan berpengalaman dengan selebihnya saya ambil bakat-bakat muda yang ingin bermain bagi perkuatkan PDRM.
“Saya tidak mahu bersandarkan kepada pemain yang ada nama semata-mata tetapi pemain yang boleh bekerja untuk pasukan serta ada kemahuan tinggi dalam diri sendiri, aspek ini ada pada sebahagian besar pemain muda.
“Begitu juga dengan import, saya akan mendapatkan dua pemain dari Kyrgyzstan yang berusia 28 tahun ke bawah iaitu satu umur kemuncak dalam karier seseorang pemain selain seorang dari Slovakia.
“Hanya Alexander Amponsah, pemain tengah dari Ghana yang dikekalkan dan tiga lagi import baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya.
Antara pemain yang telah direkrut PDRM ialah bekas penjaga gol bawah 19 tahun negara, Mohd. Firdaus Irman Mohd. Fadhil (Selangor 2), Muhammad Mu’az Zainal Abidin (Penang), Muhammad Adib Hakimi Mohd Sabri (Selangor 2), Mohd Amier Mohd Ali (Perak) selain mengekalkan Nurfais Johari serta Azrie Reza Zamri yang hadir dari Penang, pertengahan musim lalu.
Walaupun mempertaruhkan skuad yang terdiri daripada barisan pemain muda, Wan Rohaimi optimis PDRM mampu berikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Premier serta memburu dua slot ke Liga Super 2023.
Keyakinan ini lahir setelah Wan Rohaimi diberikan peluang untuk membentuk pasukan dengan pemain pilihannya yang tersendiri. Hal ini berbeza pada musim lalu kerana Wan Rohaimi yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada pertengahan musim terpaksa menggunakan pemain sedia ada.