Artikel

Nafuzi Harap Kombinasi ‘KKM’ Beri Impak Kepada Terengganu

Menjelang saingan baharu Liga Malaysia, pasukan berpangkalan di pantai timur iaitu Terengganu FC dilihat menaik taraf bahagian serangan mereka dengan mendatangkan dua penyerang import prolifik disamping mengekalkan penyerang import musim lalu.

Dua penyerang baharu yang didatangkan oleh Terengganu ialah Kpah Sherman dan Tchetche Kipre daripada Kedah Darul Aman FC manakala penyerang yang dikekalkan pula ialah Jordan Mintah.

Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengharapkan dengan keberadaan tiga penyerang ini, ianya dapat memberikan impak yang lebih baik kepada pasukan untuk mengharungi saingan musim 2022.

Nafuzi Zain

“Kita boleh nampak bagaimana Terengganu telah menambahbaik kualiti pasukan terutamanya di bahagian serangan di mana kita ada tiga pemain ini (Kpah, Kipre, Mintah) dan saya memang berharap kombinasi mereka dapat memberi impak kepada pasukan.

“Mengenai persaingan antara mereka, saya ingin tegaskan kita akan ada musim yang panjang, jadi apa sahaja boleh berlaku dan saya teruja apabila kita akan sentiasa ada pemain yang bersedia untuk diturunkan dan pilihan yang lebih luas kali ini.

“Kita akan tengok daripada segi keperluan, cara bermain daripada mereka dan semestinya masing-masing akan ada peluang mereka sendiri untuk beraksi berdasarkan prestasi semasa nanti”, jelasnya.

Bahagian serangan Terengganu pada musim lalu dilihat agak bergelut apabila penyerang utamanya, David Da Silva ditimpa kecederaan dan menghadapi isu kecergasan.

Bercakap mengenai sasaran yang ingin dicapai pada musim 2022, jurulatih berusia 43 tahun ini mahu memastikan Terengganu dapat mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding musim lalu.

Sebagai rekod, Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat manakala dalam saingan Piala Malaysia, skuad ‘Black and White’ ini mara ke peringkat separuh akhir pada musim lalu.

komen