Projek Stadium Baharu Kedah Dianggarkan Bernilai RM70 Juta
January 6, 2022 Hafizuddin Omar

Salah satu daripada perancangan Kedah Darul Aman FC (Kedah) setelah melantik tokoh kewangan, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar selaku patron (penuang) kelab adalah membina stadium sendiri.

Perancangan tersebut tampak serius apabila pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu berkongsikan perkara berkenaan di dalam dokumen Prospektus Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman yang dimuat naik di laman sesawangnya.

Antara butiran yang dikongsikan mengenai stadium baharu tersebut adalah anggaran nilai pembinaannya sebanyak RM70 juta. Difahamkan, dengan memiliki stadium sendiri, ianya dapat memberi peluang buat Kedah untuk menjana pendapatan tambahan.

Antara peluang janaan pendapatan yang dapat diusahakan Kedah menerusi stadium baharu miliknya kelak adalah pengkomersilan stadium, pendapatan hari perlawanan, penjualan tiket VIP, jelajah stadium, penganjuran acara sukan, acara korporat, konsert dan lain-lain lagi.

Setakat ini tiada sebarang butiran mengenai kapasiti, keluasan tapak projek atau lokasi pembinaan dikongsikan oleh pihak kelab. 

Menerusi kenyataan oleh Dr. Mohd Daud Bakar sebelum ini, pembinaan stadium baharu ini dijangka akan dimulakan dalam tempoh 2-3 tahun akan datang.

Komen