Artikel

Kehadiran Badd, Rizal Buatkan Apek Teruja Sertai Sabah FC

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek teruja untuk berhijrah ke Sabah FC selepas melihat kehadiran pemain seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali.

Selain itu, pemain berusia yang bakal menjengah usia 33 tahun ini turut menyatakan kredibiliti yang ada pada ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee turut menjadi asbab dia membuat keputusan tersebut.

Pada masa yang sama, bekas pemain Kelantan dan Melaka United turut memasang hasrat untuk membantu Sabah merekodkan pencapaian baharu terutamanya dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Semestinya saya ingin mencapai sesuatu dengan Sabah yang mana belum pernah lagi mereka capai, dan saya ingin menjadi sebahagian sejarah baharu dengan Sabah.

“Cuma kita kena ingat dengan kehadiran pemain-pemain baharu yang lain ke Sabah, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan yang tinggi tetapi jika diberi masa, saya percaya kami mampu buat terbaik untuk membanggakan penyokong Sabah pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, Apek tidak melihat statusnya sebagai pemain senior dan berpengalaman akan memberikan tempat secara automatik di dalam kesebelasan utama Sabah.

Hal ini kerana Apek melihat kehadiran bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Damien Lim ke Sabah akan memberikan persaingan sengit untuk merebut tempat sebagai penjaga gol No.1 pasukan dalam saingan Liga Malaysia 2022.

komen