Penyerang Brazil Guylherme Diikat Kelantan Selama 3 Tahun
January 7, 2022 Hafizuddin Omar

Penyerang kelahiran Brazil, Nixon Guylherme Brizolara menjadi milik pasukan Liga Premier, Kelantan FC dengan kontrak selama 3 tahun.

Penyertaan pemain berusia 26 tahun ini bersama skuad The Red Warriors (TRW) ini disahkan menerusi hantaran di pelbagai platform media sosial milik pasukan berpangkalan di pantai timur itu, semalam.

Guylherme menarik minat barisan kejurulatihan Kelantan setelah meletakkan dirinya selaku antara penjaring terbanyak Liga Bangladesh dengan rekod jaringan 12 gol daripada 23 penampilan bersama Chittagong Abahani sepanjang musim 2021.

Dimaklumkan, pemain yang memiliki ketinggian 1.84 meter (m) ini bakal diberikan jersi bernombor 9 bersama skuad Gomo Kelate Gomo. Kehadirannya diharap dapat mempertajamkan lagi bahagian serangan Kelantan yang berhasrat untuk mendapat tiket promosi ke Liga Super 2023.

Difahamkan, Guylherme cukup teruja dengan falsafah yang diterapkan oleh pengurusan kelab. Dia akan tiba di Malaysia dalam masa yang terdekat untuk menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya.

Sebagai rekod, Guylherme mempunyai pengalaman beraksi bersama beberapa pasukan yang beraksi di Liga Portugal seperti Maritimo B, GD Braganca, Alcanena, Candal dan Leca. Selain itu, Guylherme pernah beraksi seketika bersama pasukan Al-Tadamon dalam saingan Liga Kuwait.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen