Pemenang Puskas, Faiz Mahu Jadikan Penang FC Sebagai ‘Titik Kebangkitan Semula’ Karier
January 7, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain tengah merangkap pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri mahu menjadikan tahun 2022 bersama Penang FC sebagai titik kebangkitan semula dalam karier bola sepaknya.

Pemain berusia 34 tahun ini mengakui cukup teruja apabila mendapat tawaran daripada pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super lebih-lebih lagi setelah tersisih daripada kancah bola sepak professional sekitar dua tahun.

Bagaimanapun, Faiz sedar dengan keadaannya tidak beraksi di pentas tertinggi sekitar dua tahun, dia menyatakan memerlukan sedikit masa untuk kembali mendapat momentumnya.

Faiz ketika menyertai sesi latihan pramusim bersama Penang

“Banyak benda yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini kerana sepatutnya saya beraksi dalam Liga M3 terlebih dahulu, tetapi disebabkan Covid-19, saya terpaksa tangguh niat sehinggalah akhirnya musim ini dapat tawaran bersama Penang FC.

“Tapi saya perlu masa untuk bangkit semula sebab dua tahun tidak beraksi dalam liga kompetitif apatah lagi tahap saingan adalah tinggi dengan beraksi di Liga Super.”

“Saya pula sebelum ini berlatih sendiri sahaja di rumah, dan kali ini berlatih dalam satu pasukan, rasa suasana agak berbeza sedikit dan bukan senang untuk terus serasi,” katanya.

Disebalik kekangan itu, Faiz tetap bersemangat dan turut memasang hasrat untuk membantu Penang menamatkan saingan dalam Liga Malaysia musim ini lebih baik berbanding musim lalu – tempat ketiga Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Untuk makluman semua, Faiz cukup diingati dengan jaringan yang berpunca daripada sepakan percuma menentang hukum fizik bersama Penang ketika menentang Pahang dalam saingan Liga Super 2016.

Jaringan itulah yang melonjakkan namanya sehingga berjaya memenangi anugerah jaringan tercantik tahunan, Anugerah Puskas FIFA pada tahun 2016.

Featured Image: Penang Football Club

Komen