Penganjur saingan bola sepak divisyen tiga negara, Amateur Football League (AFL) mengesahkan sebanyak 20 buah pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim ini.
Penyertaan 20 buah pasukan ini disahkan oleh AFL dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah AFL, semalam, dan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi AFL, pada hari ini.
Difahamkan, sebanyak 4 pasukan baharu menyertai saingan ini sementara 16 pasukan merupakan yang lain datangnya daripada saingan Liga M3 pada tahun 2021. Keseluruhan 20 pasukan yang menyertai saingan Liga M3 adalah seperti berikut:
1) Armed Forces FC
2) BRM FC
3) FC Langkawi
4) Harini KS FC
5) Imigresen FC
6) Kijang Rangers FC
7) Kinabalu Jaguar FC
8) Kuala Lumpur Rovers FC
9) Langkawi City FC
10) Malaysia University
11) Manjung City FC
12) Perlis United FC
13) PIB FC
14) Real Chukai FC
15) Sains FC
16) Ultimate FC
17) Bukit Tambun FC
18) Respect FC
19) Tun Razak City FC
20) Tok Janggut Warriors FC
Bercakap mengenai format Liga M3, kesemua 20 buah pasukan ini akan dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B di mana setiap kumpulan terdiri daripada 10 pasukan. Saingan peringkat kumpulan ini akan dilangsungkan secara timbal balik atau ‘double round robin’.
Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Untuk makluman semua, sepak mula peringkat kumpulan dijadualkan pada 11 Februari. Manakala, saingan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan berlangsung pada 6 hingga 27 Ogos. Sementara itu, perlawanan akhir pula akan berlangsung pada 4 September.
Sebagai tambahan, AFL memaklumkan majlis undian bagi menentukan pasukan yang akan mengisi Kumpulan A dan Kumpulan B ini akan berlangsung pada 15 Januari kelak.