Artikel

‘Pak Arab’ Jordan Taruhan Sri Pahang Di Bahagian Serangan Ganti Kenny Athiu

Penyerang skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Za’tara menjadi sandaran utama di bahagian serangan Sri Pahang untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Kedatangan pemain berusia 31 tahun ini dihebahkan menerusi makluman di pelbagai media sosial milik skuad yang dikenali dengan julukan Tok Gajah, pada Sabtu lalu.

Difahamkan, kedatangan penyerang ini adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyerang tinggi lampai berketinggian 2 meter (m), Kenny Athiu yang merupakan kelahiran benua afrika.

Mahmoud Za’tara

Untuk makluman semua, Mahmoud hadir dengan reputasi sebagai pemain yang membantu kelab lamanya, Al Wehdat muncul naib juara Liga Pro Jordan serta juara Piala Super Jordan 2021 (perlawanan piala sumbangsih).

Selain beraksi di liga negaranya, karier bola sepak Mahmoud banyak tertumpu bersama pasukan-pasukan yang berpangkalan di rantau asia barat seperti Iraq, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Oman.

Pengalaman Mahmoud di kancah kejohanan antarabangsa seperti Piala AFC dan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) turut menjadi salah satu sebab pemain ini menarik minat Sri Pahang untuk mendapatkan khidmatnya.

Sebagai tambahan, Kenny yang ditandatangani oleh Sri Pahang pada jendela pertengahan musim lalu dilepaskan selepas sekadar merekodkan 5 jaringan gol daripada 11 penampilan.

komen