Artikel

Kelantan FC ‘Ikat’ Bekas Pemain Futsal Dengan Kontrak 3 Tahun

Pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Premier, Kelantan FC mengumumkan menandatangani seorang bekas pemain futsal dengan kontrak bertempoh sederhana panjang iaitu tiga tahun.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Farhan Roslan yang pernah beraksi bersama skuad futsal Kedah dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (kini dikenali sebagai Malaysia Premier Futsal League) pada tahun 2013 yang lalu.

Kedatangan Farhan yang turut dikenali sebagai ‘Messi Kedah’ dek kerana kelicikan mengawal bola itu diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik skuad The Red Warriors pada Sabtu lalu.

Bercakap mengenai karier pemain berusia 25 tahun ini, bakat pemain sayap lincah ini mula menarik minat barisan kejurulatihan skuad bola sepak Kedah setelah mempamerkan kemampuannya bersama skuad futsal Kedah pada tahun 2013 itu.

Tahun berikutnya, namanya diserap masuk dalam skuad senior bola sepak Kedah (kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman FC) dan beraksi bersama skuad Hijau Kuning dari tahun 2014 hingga 2020. Bersama Kedah, Farhan telah merekodkan 64 penampilan dan mencetak 6 gol.

Farhan ketika beraksi bersama skuad Malaysia B-23 pada tahun 2015.

Musim lalu, dia dipinjamkan kepada Perak FC dan Farhan meraih 8 penampilan serta menjaringkan satu gol. Sebagai tambahan, Farhan juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan bawah 21 tahun (B-21), bawah 23 tahun (B-23) dan skuad senior.

Untuk makluman semua, Farhan menjadi pemain ketiga yang diikat oleh Kelantan dengan kontrak selama tiga tahun pada jendela perpindahan kali ini. Dua pemain lain yang diikat dengan kontrak tempoh yang sama ialah Nixon Guylherme dan Kervens Belfort yang merupakan penyerang import.

Featured Image: FA Kedah

komen