Ibu Pejabat Baharu FAM Di Putrajaya Dijangka Siap Sepenuhnya 3 Tahun Lagi
January 17, 2022 Hafizuddin Omar

Sebuah ibu pejabat baharu untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dibina di Presint 5, Putrajaya. Selaras dengan perkembangan itu, FAM akan memindahkan segala operasi dan tadbir urusnya ke sana apabila ianya siap sepenuhnya, pada awal 2025 kelak.

Perkara ini dimaklumkan oleh FAM dalam Majlis Pecah Tanah yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Ismail Sabri Yaakob serta disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, hari ini.

Dimaklumkan, Ibu Pejabat FAM yang baharu itu berketinggian lima tingkat dan bakal dilengkapi dengan kemudahan pejabat, auditorium, bilik seminar dewan pemasyhuran, kedai barangan FAM serta gelanggang futsal.

Turut dikongsikan oleh FAM, bangunan baharu itu dibina bersebelahan dengan Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang terletak di dalam Bandar Bola Sepak Putrajaya.

Sebagai makluman tambahan, ibu pejabat ini akan dibina di atas tanah seluas 3 ekar sambil baki 3 ekar lagi akan dibangunkan oleh One Lagoon Development Sdn Bhd dengan usahasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membangunkan apartmen servis (serviced apartment).

Selain itu, pihak FAM turut menyatakan mereka dalam proses untuk membina sebuah Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang akan dikhususkan buat skuad kebangsaan, Harimau Malaya di presint yang sama.

Sebagai rekod, FAM menjalankan kesemua operasi dan tadbir urus mereka di Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya sejak tahun 1980.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen