Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menyatakan TIDAK MENJADI KESALAHAN buat umat Islam untuk menyokong atau meminati kelab-kelab bola sepak yang menyatakan solidariti atau berkempen ke arah normalisasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Menurut Irsyad Al-Fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ianya tidak menjadi kesalahan jika menyokong kelab-kelab tersebut sekadar hiburan atas dasar mereka sebagai kelab bola sepak.
Tambahan pula, sikap kelab-kelab tersebut berkenaan isu LGBT atau hal-hal yang lain berada di luar bidang kuasa para penyokong. Justeru, minat kepada kelab-kelab tersebut tidak termasuk dalam kerjasama atau tolong-menolong ke arah kemaksiatan seperti yang dilarang oleh agama Islam.
Bagaimanapun, Mufti WP menitipkan pesanan, dalam memberikan sokongan kelab bola sepak yang diminati, hati mestilah disertai dengan rasa tidak redha dengan kempen mempromosi LGBT yang dijalankan itu.
Oleh demikian, umat Islam DILARANG untuk memakai jersi yang mempunyai simbol sokongan terhadap gerakan LGBT seperti simbol pelangi pada lengan jersi, dan dilarang juga untuk mengongsikan hantaran-hantaran di media sosial yang mempromosi amalan LGBT, kerana ia juga termasuk dalam kategori berkempen ke arah kemaksiatan.
Untuk makluman semua, Pejabat Mufti WP mengeluarkan Irsyad Al-Fatwa berkenaan hal ini menjawab pertanyaan mengenai hukum menyokong kelab-kelab bola sepak antarabangsa yang mengiktiraf LGBT serta adakah ianya dikira mengiktiraf LGBT secara tidak langsung.
Featured Image: Premier League