Dua orang pemain kelahiran Sepanyol namun memiliki pasport negara Filipina menyertai pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dua pemain tersebut adalah penyerang, Bienvenido Maranon dan pertahanan tengah, Carli De Murga yang merupakan kelahiran El Puerto de Santa Maria (Pelabuhan Saint Mary) di wilayah Cadiz.
Kemasukan pemain yang berusia 35 dan 33 tahun masing-masing ini dimaklumkan oleh JDT menerusi satu video berdurasi 48 saat di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Untuk makluman semua, Bienvenido mempunyai pengalaman sekitar 10 tahun dalam saingan Liga Sepanyol sebelum berhijrah menyertai kelab dalam saingan Liga Filipina, United City (dahulu dikenali sebagai Ceres-Negros) pada tahun 2015.
Bersama United City, Bienvenido merekodkan 85 penampilan dan menjaringkan 65 gol serta mencipta 24 ‘assist’ termasuk di peringkat Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC.
Selain itu, Bienvenido yang mendapat kewarganegaraan Filipina pada Julai 2021 mempunyai 4 penampilan dan merekodkan 4 gol bersama skuad The Azkals dengan melakukan debut ketika saingan Piala AFF 2020 lalu.
Sementara itu, Carli merupakan nama yang tidak asing lagi buat peminat bola sepak tempatan. Dia merupakan bekas pemain Terengganu FC pada musim 2021.
Memulakan karier bola sepaknya di Sepanyol sekitar 2006 sebelum terbang ke Filipina untuk menyertai Global FC pada tahun 2012. Carli beraksi sekitar 8 tahun di negara itu sebelum menyertai Chonburi di Liga Thailand pada tahun 2020.