Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 merangkap pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen menyokong tindakan Lee Zii Jia untuk bergerak secara bebas (independent).
Pandangan pemain Denmark berusia 28 tahun itu terhadap keputusan Zii Jia yang telah menghantar surat untuk keluar daripada badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dilontarkan Viktor menerusi platform media sosialnya.
“Jika seseorang pemain (dalam kes ini LZJ) merasakan yang paling terbaik buatnya untuk mengambil jalan lain di mana dia lebih bebas sebagai pemain, maka itulah perkara yang harus dilakukannya, pada pendapat saya. Lagipun, itu adalah karier dan hidupnya.
Viktor yang pernah menentang pemain No.1 Malaysia itu sebanyak enam kali, turut berkeyakinan, Zii Jia akan terus melakukan segala-galanya untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang dan memberikan yang terbaik untuk Malaysia serta semua yang menyokongnya.
Sebagai rekod, daripada enam pertemuan melibatkan kedua-dua pemain ini, Zii Jia berhasil meraih dua kemenangan. Salah satunya ketika perlawanan akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2021.
Kemenangan ke atas Viktor itu membolehkan Zii Jia menjulang kejuaraan di kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 buat kali pertama dalam kariernya.
Untuk makluman semua, Viktor juga bergelar pemain bebas dengan mengumumkan ‘perpisahan’ dengan badan induk negaranya selepas daripada kejayaannya merangkul pingat emas di temasya Sukan Olimpik, tahun lalu.
Ketika ini, Viktor menjadikan sebuah kompleks sukan di Dubai sebagai pangkalan latihannya yang turut disertai pemain-pemain lain termasuk juara Kejohanan Dunia BWF 2021, Loh Kean Yew dari Singapura.
Featured Image: Badminton Photo