Bekas Pemain Divisyen 4 Brazil Kekal Bersama Melaka United
January 23, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan Liga Super, Melaka United mengumumkan bekas pemain tengah menyerang (attacking midfielder) yang beraksi di saingan divisyen keempat Brazil atau dikenali sebagai Serie D dikekalkan untuk musim 2022.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Adriano Aparecido Narcizo, berusia 27 tahun, merangkap bekas pemain Galvez Esporte Clube. Perkara ini diumumkan secara rasmi di pelbagai platform media sosial milik skuad Hang Tuah, semalam.

Menurut makluman itu juga, Adriano yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua dikekalkan atas faktor membawa impak yang besar kepada Melaka United pada musim lalu biarpun kali pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain ini telah menyumbang enam gol serta mencipta lapan ‘assists’ yang membantu Melaka United terselamat dari terhumban ke saingan Liga Premier. Malahan, kelibatnya juga telah membantu Melaka United mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia.

Dalam satu makluman yang lain, Melaka United turut mengumumkan mengekalkan khidmat pemain sayap lincah, Sony Norde dari Haiti untuk musim ketiga. Pemain berusia 32 tahun ini menyumbang lapan gol serta merekodkan lima ‘assists’ buat Melaka United, sepanjang musim lalu.

Featured Image: Melaka United Football Club

Komen