Pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berjaya merangkul kejuaraan pertama di pentas Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 dengan memenangi saingan Antarabangsa Syed Modi 2022.
Pasangan yang menghuni ranking ke-65 dunia ini muncul juara setelah menumpaskan beregu tuan rumah, Krishna Prasad Garaga dan Vishnuvardhan Goud Panjala yang berada di ranking ke-74 dunia, di pentas final, sebentar tadi.
Wei Chong-Kai Wun yang berusia 22 dan 21 tahun masing-masing ini meraih kemenangan secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-18 dan 21-15.
Untuk makluman semua, Wei Chong dan Kai Wun mula bergandingan sejak Mac 2021.
Sejak digandingkan, mereka cemerlang merangkul beberapa kejuaraan seperti Terbuka Poland, Kejohanan Antarabangsa Iberdrola Spanish dan Terbuka Ireland, pada tahun lalu.
Selain itu, mereka turut muncul naib juara di saingan Terbuka Czech dan Kejohanan Antarabangsa Wales.
Dengan kemenangan yang diraih pada hari ini, Wei Chong dan Kai Wun bukan sahaja akan membawa pulang trofi dan wang kemenangan malah bakal mencatatkan peningkatan mendadak ranking dunianya, pada kemaskini yang berikutnya.
Featured Image: BWF Media