Presiden BAM Restu Pemain No.7 Dunia Bergerak Secara ‘Independent’
January 25, 2022 Hafizuddin Omar

Hasrat jaguh badminton negara merangkap pemain perseorangan nombor tujuh dunia, Lee Zii Jia untuk bergerak secara bersendirian atau bebas (independent) semakin menghampiri kenyataan.

Ianya selepas Zii Jia dan keluarganya membuat pertemuan dari hati ke hati bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pagi tadi, sehari selepas juara Kejohanan Badminton Seluruh England 2021 itu menghantar surat rayuan.

Perkembangan ini dimaklumkan sendiri oleh Zii Jia menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Baca: BAM Mengesahkan Menerima Surat Rayuan Lee Zii Jia Hari Ini

Foto: Facebook Lee Zii Jia

“Saya gembira kerana kami telah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu daripada Tan Sri (Norza) untuk menjadi pemain profesional,” kata pemain yang bakal menjengah usia 24 tahun itu.

“Pencapaian terdahulu dan masa akan datang saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.” Tambahnya lagi.

Dalam makluman yang sama, Zii Jia menyatakan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menempuh Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

Terdahulu, hasrat Zii Jia untuk meninggalkan BAM dan bergerak secara bersendirian atau bebas telah diberikan ‘lampu merah’ apabila badan induk itu menghukum dengan tidak akan mendaftarkannya dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun, Jumaat lalu.

Featured Image: BWF Media

Komen