Saingan liga bola sepak negara jiran tetangga, Liga Premier Singapura (SPL) 2022 akan dilangsungkan secara empat pusingan berbanding tiga pusingan pada musim-musim yang lalu.
Menurut kenyataan rasmi SPL, perubahan besar yang dilakukan itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kompetitif saingan bola sepak di negara seberang tambak itu serta memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan tambahan minit permainan.
Perubahan ini menjadikan lapan pasukan yang beraksi dalam saingan SPL akan mengharungi 28 perlawanan pada musim ini – pertambahan sebanyak 7 perlawanan.
Dengan pertambahan perlawanan, penganjur membenarkan setiap pasukan untuk mendaftarkan seramai 20 pemain pada hari perlawanan. Ini menjadikan seramai 9 pemain menduduki bangku simpanan – peningkatan seramai 2 pemain berbanding sebelum ini.
Pada masa yang sama, setiap pasukan dibenarkan untuk melakukan 5 pertukaran pemain di dalam setiap perlawanan. Dimaklumkan, perubahan ini selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).
Selain itu, SPL turut memaklumkan, pengurangan kuota pemain muda dimana setiap pasukan hanya membariskan seorang sahaja pemain bawah 23 tahun (B-23) warganegara Singapura untuk 45 minit pertama. Kuota ini berkurangan daripada tiga pemain sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2018.
Untuk makluman semua, musim baharu bola sepak Singapura akan dimulakan dengan perlawanan pembuka tirai, Perisai Komuniti yang menemukan juara bertahan liga, Lion City Sailors menentang Albirex Niigata, pada 19 Februari.
Selang seminggu kemudian, saingan musim baharu SPL akan dimulakan secara rasmi pada 25 Februari dan dijangka tamat pada pertengahan Oktober kelak.