Bekas ‘Pelajar’ UiTM FC Ditandatangani Kelab No.4 Liga Scotland
January 26, 2022 Hafizuddin Omar

Selepas dua musim beraksi sebagai pertahanan import UiTM FC, Victor Nirennold meneruskan karier bola sepaknya bersama kelab yang sedang menghuni tangga keempat Liga Scotland, Motherwell FC.

Pertahanan versatil kelahiran Perancis ini diumumkan sebagai pemain baharu skuad The Well menerusi satu makluman rasmi kelab setelah pihak kejurulatihan berpuas hati dengan prestasinya semasa tempoh latihan percubaan.

Difahamkan, Victor, 31 tahun, berketinggian 1.94 meter, menandatangani kontrak bersama Motherwell sehingga penghujung saingan Scottish Premiership 2021/22.

Baca: Pertahanan UiTM FC, Victor Nirennold Punyai Pengalaman Mahal Hadapi Liverpool

Pengurus pasukan, Graham Alexander menyatakan kedatangan Victor dalam skuadnya akan memberikan saingan tambahan di bahagian kanan skuadnya. Ini berdasarkan kemampuan Victor untuk beraksi di posisi pertahanan tengah kanan, pertahanan kanan serta pemain tengah kanan. 

Untuk makluman semua, Victor menjadi tonggak utama yang membawa skuad The Lion Troops kendalian Frank Bernhardt menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga keenam – pencapaian terbaik kelab sejak ditubuhkan pada tahun 2008.

Bagaimanapun, setelah tamatnya saingan Liga Super 2021 yang menyaksikan UiTM terhumban ke saingan Liga Premier, kontrak Victor serta pemain import yang lain tidak disambung dan dilepaskan oleh pasukan berpangkalan di Stadium UiTM Shah Alam ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen