Ranking BWF: Juara Syed Modi, Wei Chong-Kai Wun Kini ‘Top 45’ Dunia
January 26, 2022 Hafizuddin Omar

Kejuaraan yang diraih saingan Antarabangsa Syed Modi 2022, Ahad lalu, menjadikan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun sebagai 45 beregu lelaki terbaik dunia, pada minggu ini.

Wei Chong dan Kai Wun memasuki kelompok berkenaan selepas kemaskini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam. 

Pemain yang berusia 22 dan 21 tahun masing-masing ini muncul juara di kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 itu selepas menumpaskan beregu tuan rumah, Krishna Garaga dan Vishnuvardhan Panjala secara ‘straight set’ di pentas akhir.

Pada masa yang sama, satu lagi pasangan beregu pelapis negara iaitu Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri yang berusia 19 tahun masing-masing ini turut meraih peningkatan yang memberangsangkan.

Walaupun sekadar beraksi di Pusingan 32 dalam kejohanan yang sama, beregu yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ ini berhasil meraih peningkatan 5 anak tangga sekaligus meletakkan mereka dalam kelompok 99 beregu terbaik dunia, buat pertama kali dalam karier mereka.

Sementara itu, tiada perubahan ranking melibatkan tiga beregu terbaik negara pada minggu ini. Gandingan Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi dan Sze Fei-Izzuddin kekal di tangga ke-7, ke-11 dan ke-17 masing-masing.

Komen