Beregu wanita negara, Teoh Mei Xing dan Anna Cheong berhasil merekodkan peningkatan sebanyak 47 anak tangga dalam ranking dunia selepas muncul juara dalam saingan Antarabangsa Syed Modi 2022 – Jelajah Dunia BWF Super 300, Ahad lalu.
Peningkatan itu membolehkan pasangan yang mula bergandingan sejak Oktober tahun lalu meletakkan diri mereka di tangga ke-91 dunia, berdasarkan kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada minggu ini.
Secara keseluruhan, pasangan yang berusia 24 dan 23 tahun ini telah merekodkan peningkatan sebanyak 1056 anak tangga dalam tempoh sekitar tiga bulan sahaja.
Sementara itu, beregu wanita pelapis negara, Low Yeen Yuan dan Valeree Siow yang beraksi buat pertama kali di pentas Jelajah Dunia BWF Super 300 di kejohanan yang sama mencatatkan peningkatan sebanyak 21 anak tangga.

Pasangan yang berusia 19 tahun masing-masing ini mencipta kejutan dengan mara sehingga ke peringkat separuh akhir. Hasil daripada prestasi yang memberangsangkan itu, kini, Yeen Yuan-Valeree menyertai kelompok 90 beregu wanita terbaik dunia.
Beregu wanita bebas (independent), Vivan Hoo dan Lim Chiew Sien yang disingkirkan oleh Yeen Yuan-Valeree di peringkat suku akhir pula meraih peningkatan sebanyak 11 anak tangga sekaligus meletakkan diri mereka dalam kalangan 60 pasangan terbaik dunia.
Kedudukan beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pula dinaikkan satu anak tangga menjadikan mereka berada di kedudukan ke-15 dunia – ranking tertinggi pernah dicapai dalam karier mereka.
Kenaikan itu hasil daripada gandingan beregu China, Du Yue dan Li Yin Hui yang menghuni tangga kelapan dunia pada minggu lalu, dikeluarkan BWF daripada ranking dunia.