Pemain pelapis perseorangan lelaki negara, Jacky Kok Jing Hong meraih peningkatan sebanyak 88 anak tangga dalam kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
Pemain berusia 20 tahun ini meraih peningkatan tersebut selepas muncul juara Terbuka Sweden 2020 – kejohanan bertaraf International Series – pada Ahad lalu sekaligus membolehkannya menghuni ranking ke-272 dunia, pada minggu ini.
Pemain bertangan kidal kelahiran Kedah ini muncul juara setelah lawannya yang merupakan pemain bebas (independent) negara, Yeoh Seng Zoe terpaksa menarik diri kerana kecederaan pada perlawanan akhir.
Selain merangkul kejuaraan buat pertama kali di peringkat senior, ini juga merupakan kali kedua Jacky mara ke pentas final pada tahun ini. Minggu sebelumnya, Jacky telah mara ke final kejohanan Antarabangsa Estonia di mana di muncul sebagai naib juara.
Sementara itu, Yeoh yang terpaksa menarik diri turut merekodkan peningkatan dalam kedudukan rankingnya. Minggu ini, Yeoh menghuni tangga ke-120 dunia – peningkatan sebanyak 8 anak tangga.
Sebagai tambahan, Jacky terus berada di bumi eropah dengan dia dijadualkan mengharungi satu lagi kejohanan, Terbuka Ukraine 2022 – bertaraf International Challenge – yang akan bermula pada hari esok.
Featured Image: Terbuka Sweden / Torbjörn Jansson