Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyatakan tahun 2022 bakal menjadi tahun terakhirnya bergelar jurulatih bola sepak.
Dimaklumkan, beliau mahu menoktahkan persaraannya dengan membawa Kuching City FC pada musim ini mendapat promosi ke saingan Liga Super 2023.
Jurulatih yang bakal memasuki usia 71 tahun itu menyatakan perkara sedemikian menerusi satu laporan akhbar tempatan, Harian Metro, minggu ini.
“Tahun ini Insya-Allah adalah tahun terakhir saya bergelar jurulatih bola sepak selepas lebih 26 tahun bergiat aktif dalam bidang itu sejak berumur 45 tahun lagi.
“Lagipun dengan memasuki usia 72 tahun musim depan, saya rasa sudah tiba masanya untuk berehat dalam sukan yang diminati ini sekaligus memberi peluang kepada jurulatih lain untuk meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kejurulatihan ini,” kata Irfan seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.
Untuk makluman semua, Irfan telah melatih sekitar 10 pasukan samada yang berpangkalan di dalam mahupun luar negara sepanjang lebih suku abad berkarier dalam bidang kejurulatihan.
Antara pencapaian Irfan adalah memberikan kejuaraan kepada Pulau Pinang (Liga Perdana 1 2001, Piala FA 2002, Piala Sumbangsih 2003) dan Terengganu (Piala FA 2011).
Featured Image: Kuching City FC