Anselmo Arruda da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande tidak akan mengemudi jentera serangan Penang FC secara berseorangan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia, musim ini.
Ketua jurulatih pasukan yang berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu, Tomas Trucha tidak menolak akan membawa masuk seorang lagi penyerang import untuk menyertai pasukannya. Bagaimanapun, Trucha tidak memberikan sebarang bayangan mengenai latar belakang pemain baharu itu.
Akan tetapi, jurulatih kelahiran Republik Czech ini telah merancang untuk menjadikan pemain tersebut sebagai gandingan serta ‘backup’ kepada Casagrande sekaligus memantapkan lagi jentera serangan Penang.
Pada masa yang sama, jurulatih berusia 50 tahun ini mahu meningkatkan tahap keupayaan pemain-pemain lain untuk turut sama menyumbangkan gol buat pasukan.
“Sebelum ini saya pernah katakan yang saya tidak mahu bergantung kepada Casagrande sahaja sebab ada juga pemain lain yang boleh jaringkan gol.
“Dan sebenarnya, walaupun dia ada atas padang, kita dapat tengok juga ada pemain lain yang tetap menjaringkan gol dan ini yang saya mahukan di mana Penang ada pemain-pemain yang tidak hanya bergantung kepada satu penyerang sahaja.
“Kita akan membawa masuk seorang lagi penyerang di mana dia akan bersama-sama dengan Casagrande untuk beraksi, dan dia juga akan dapat membantu dengan lebih kerap di bahagian serangan sekiranya salah seorang daripada mereka cedera atau sebagainya.
“Sekarang saya juga ingin menekankan bagaimana pemain-pemain ini perlu ada skil untuk menjaringkan gol dan boleh memberikan penyudah berkesan”, katanya.
Sepanjang musim 2021, Casagrande menjadi pemain penting terutamanya di bahagian serangan dengan menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga Super buat Penang.
Rekod tersebut menempatkan dirinya sebagai penjaring keempat terbanyak liga serta membantu Penang menamatkan saingan liga di tangga ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC.
Featured Image: Penang Football Club