Dokumentari ‘Jerkahan & Makian Bojan Hodak’ Disiarkan Bermula 1 Februari di Astro
January 27, 2022 Hafizuddin Omar

Siri dokumentari yang memaparkan perjalanan Kuala Lumpur City FC (KL City) beraksi dalam saingan Liga Super & muncul juara Piala Malaysia 2021 akan disiarkan bermula 1 Februari hadapan.

Dokumentari sukan bertajuk ‘Sampai Mati Kuala Lumpur’ ini akan membawakan kepada penonton menyingkap perkara-perkara di belakang tabir yang dijalani oleh para pemain dan jurulatih sebagai contoh di dalam bilik persalinan, semasa latihan dan juga luar padang.

Pelbagai emosi dapat dirakam di dalam dokumentari ini termasuk dengan nasihat, arahan, jerkahan serta makian daripada ketua jurulatih, Bojan Hodak terhadap para pemain. 

Tidak ketinggalan, penglibatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard untuk mengangkat kembali maruah dan wajah skuad ibu kota ini untuk kembali ke zaman kegemilangannya turut diselitkan.

Untuk makluman semua, dua daripada lapan episod awal dokumentari ini akan disiarkan secara eksklusif kepada pelanggan Astro pada 1 dan 2 Februari (Selasa dan Rabu) di saluran Astro Arena 801 atau Astro Prima 105 pada jam 9.00 malam.

Manakala, episod-episod yang lain akan menyusul pada tiga minggu berikutnya, disiarkan pada hari yang sama iaitu Selasa dan Rabu di waktu yang sama.

Komen