RTM Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022
January 28, 2022 Hafizuddin Omar

Stesen penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi penyiar rasmi bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 yang diadakan di Beijing, China.

Menurut laporan Bernama, RTM akan membawakan siaran langsung temasya berkenaan bermula dengan upacara perasmian pada 4hb Februari di saluran TV2, Sukan RTM, 111 Myfreeview serta laman sesawang RTMklik pada jam 7.55 malam.

Untuk makluman semua, temasya pada kali ini akan disertai oleh dua atlet luncur salji negara iaitu Jeffrey Webb, 23 tahun (kategori slalom lelaki) dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17 tahun (kategori slalom dan giant slalom wanita).

Selain itu, RTM menerusi saluran Sukan RTM akan menyiarkan tiga sesi laporan harian (9 pagi-12 tengah hari, 2-5 petang dan 8-10 malam) serta rangkuman harian (8 pagi-10 malam) setiap hari sepanjang berlangsungnya temasya tersebut.

Temasya ini akan berlangsung dalam tempoh hampir tiga minggu dengan upacara penutupnya akan berlangsung pada 20 Februari kelak.

Sebagai tambahan, RTM turut muncul selaku penyiar rasmi bagi edisi yang lalu, Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 yang berlangsung di Pyeongchang, Republik Korea.

Komen