Skuad bola sepak kebangsaan Republik Islam Iran menjadi pasukan dari benua asia yang pertama melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2022 FIFA secara merit.
Ini selepas pasukan yang mendapat julukan Team Melli itu berhasil menumpaskan Iraq 1-0 hasil jaringan penyerang Porto, Mehdi Taremi dalam perlawanan ketujuh pada pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.
Kemenangan itu membolehkan Iran mengumpul 19 mata dalam Kumpulan A sekaligus mengesahkan kemaraan ke pertandingan empat tahun sekali itu walaupun masih berbaki tiga perlawanan.
Kejayaan mengesahkan tempat ke kejohanan yang bakal berlangsung di Qatar pada November nanti itu turut disaksikan sekitar 10,000 penonton di Stadium Azadi, semalam.
Untuk makluman semua, ini merupakan kali ketiga berturut-turut Iran layak ke kejohanan Piala Dunia sejak edisi 2014 di Brazil. Sebelum itu, mereka pernah beraksi di pentas ini pada edisi 2006 dan 1998.