Sri Pahang Perkenalkan Mamadou Samassa – Penjaga Gol Bernilai RM1.4 Juta
January 28, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC mengumumkan kedatangan penjaga gol baharunya, Mamadou Samassa – berdarah Mali kelahiran Perancis, pada hari ini.

Pemain yang bakal menjengah usia 32 tahun ini diperkenalkan oleh skuad Tok Gajah secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

Menurut portal laman portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, Samassa yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perancis ini dinilai pada harga sekitar RM1.4 juta.

Nilai semasanya itu menjadikannya sebagai penjaga gol paling mahal dalam saingan Liga Malaysia, musim ini. Sebagai perbandingan, penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Kevin Ray Mendoza dan Farizal Marlias bernilai RM933,524.00 masing-masing.

Untuk makluman semua, Samassa yang berketinggian 1.98 meter (m) ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum memutuskan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan senior Mali.

Bersama skuad kebangsaan Mali, Samassa pernah membantu pasukan tersebut meraih kedudukan ketiga dalam saingan Piala Negara-Negara Afrikan (AFCON) 2013.

Featured Image: ESTAC Troyes

Komen