Billy Jadi Pemain Import Ketiga Kelahiran Perancis ‘Diikat’ Sri Pahang
January 28, 2022 Hafizuddin Omar

Nampaknya pemain-pemain kelahiran Perancis menjadi ‘penyedap rasa’ kepada ‘resipi’ Sri Pahang FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Perkara ini dikuatkan dengan kehadiran pemain kelahiran Perancis ketiga, Billy Ketkeophomphone – pemain Laos kelahiran Perancis – menyertai skuad Tok Gajah, pada hari ini.

Penyerang berusia 31 tahun yang juga merupakan penyerang skuad kebangsaan Laos ini menjadi pemain import keempat diperkenalkan Sri Pahang ketika jendela perpindahan kali ini.

Untuk makluman semua, Billy memulakan kariernya bola sepaknya di Perancis. Antara pasukan yang pernah disertainya ialah RC Strasbourg, FC Sion, Tours FC, Angers SCO, AJ Auxerre dan USL Dunkurque. Selain itu, dia pernah berkelana di Switzerland dengan menyertai FC Sion.

Dijangka, ketua jurulatih yang juga kelahiran Perancis, Christophe Gamel akan meletakkan Billy bergandingan bersama penyerang Jordan, Mahmoud Zatara untuk mengisi jentera serangan Sri Pahang musim ini.

Sebagai rekod, sebelum ini, Sri Pahang telah mengumumkan kehadiran dua pemain kelahiran Perancis iaitu penjaga gol, Mamadou Samassa dan pertahanan, Johan Martial.

Featured Image: SCO Angers

Komen