Pasangan beregu lelaki bebas (independent), Lim Khim Wah dan Nur Mohd Azriyn yang mula membentuk gandingan awal Januari ini berjaya merangkul kejuaraan sulung dengan memenangi saingan Terbuka Odisha 2022 yang berlangsung di India.
Kejuaraan tersebut diraih pasangan yang berusia 32 dan 28 tahun masing-masing ini hasil daripada menumpaskan beregu tuan rumah, Ravikrishna PS dan Sankar Prasad Udayakumar di perlawanan akhir, sebentar tadi.
Khim Wah-Azriyn menumpaskan mereka menerusi tiga perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 18-21, 21-14 dan 21-16 dalam tempoh masa menghampiri satu jam permainan sekaligus dinobatkan sebagai pemenang dalam kejohanan yang bertaraf Jelajah BWF Super 100 ini.
Selain daripada berjaya membawa pulang wang tunai hasil daripada memenangi kejohanan ini, kedudukan Khim Wah-Azriyn dalam ranking dunia pastinya akan meningkat pada kemaskini yang berikutnya.
Untuk makluman semua, gandingan yang berusia sekitar sebulan ini berada di tangga ke-288 dunia pada ketika ini.
Sebagai rekod, gandingan ini turut beraksi dalam dua kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 dan Super 300 (Terbuka India & Saingan Antarabangsa Syed Modi) yang berlangsung di negara yang sama pada Januari ini.
Bagaimanapun, mereka hanya beraksi di peringkat Pusingan 32 dan Pusingan 16 masing-masing sahaja.
Featured Image: Badminton Photo / Instagram Nur Mohd Azriyn