Gandingan beregu lelaki negara, Chia Weijie dan Low Hang Yee berhasil merangkul kejuaraan pertama dengan memenangi saingan Terbuka Ukraine 2022 – sebuah kejohanan bertaraf International Challenge.
Pasangan yang mula bergandingan sejak Oktober tahun lalu berhasil merangkul kejuaraan tersebut dengan menumpaskan beregu Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard dalam perlawanan akhir yang berlangsung, awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Weijie-Hang Yee yang berusia 21 dan 24 tahun masing-masing ini menewaskan beregu tersebut menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan keputusan 19-21, 22-20 dan 23-21 dalam tempoh masa yang menghampiri satu jam.
Terdahulu, pasangan yang menghuni ranking ke-279 dunia ini mara ke final dengan menumpaskan beregu senegara, Chang Yee Jun dan Yap Roy King di peringkat separuh akhir.
Untuk makluman semua, ini merupakan kemaraan kedua berturut-turut ke pentas final di kejohanan antarabangsa buat Weijie-Hang Yee. Minggu lalu, beregu ini telah mara ke final Terbuka Sweden dan muncul naib juara di kejohanan terbabit.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia