Artikel

Kedah Perkukuhkan Benteng Pertahanan Dengan Bekas Pemain Real Madrid

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) memperkukuhkan benteng pertahanannya dengan mendapatkan khidmat bekas pemain skuad simpanan, Real Madrid C.

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Marc Vales Gonzalez yang berusia 31 tahun merangkap pemain skuad kebangsaan Andorra – sebuah negara yang berada di ranking ke-155 dunia.

Kedatangan Marc yang turut bekemampuan beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) ini diumumkan secara rasmi di pelbagai platform media sosial skuad Hijau Kuning, Sabtu lalu. 

Untuk makluman semua, Marc memulakan karier bola sepaknya di negara kelahirannya sendiri iaitu Andorra sebelum beraksi di pelbagai pasukan yang berpangkalan di Sepanyol. Selain itu, Marc turut mempunyai pengalaman beraksi di negara-negara Nordic seperti Finland dan Norway.

Marc ketika berentap menentang England.

Bersama skuad kebangsaan Andorra, Marc pernah menentang beberapa pasukan ternama dunia antaranya England, Portugal, Belanda, Perancis, Belgium dan pelbagai lagi. Sehingga kini, Marc telah merekodkan sebanyak 77 penampilan serta menjaringkan 4 gol bersama skuad yang bergelar Tricolors ini.

Dijangka, Kedah yang dibimbing oleh Aidil Sharin Sahak akan mempertaruhkan Marc bersama pertahanan Republik Korea, Jang Suk-won di benteng pertahanan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022.

Sebagai tambahan, kehadiran Marc bukan sahaja melengkapkan kuota lima pemain import bahkan melengkapkan skuad Kedah yang melibatkan 30 pemain pada musim ini.

komen