Pemain Sabah, Jackson Pertahanan Paling Mahal Liga Malaysia – Bernilai RM2.34 Juta
January 31, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC memiliki pertahanan termahal dalam saingan Liga Malaysia, setakat jendela perpindahan kali ini.

Ianya selepas skuad Sang Badak mengumumkan ketibaan pertahanan import baharu, Jackson de Souza menerusi pelbagai platform media sosialnya secara rasmi, semalam.

Menerusi portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt, nilai pasaran pertahanan kelahiran Brazil yang berusia 31 tahun ini diletakkan pada harga RM2.34 juta.

Sebagai perbandingan, nilai pasaran ini mengatasi pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab serta pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), La’vere Corbin-Ong yang berharga RM1.87 juta dan RM1.75 masing-masing selaku kedua dan ketiga termahal dalam kancah bola sepak tempatan.

Untuk makluman semua, pertahanan yang memiliki ketinggian 1.86 meter (m) ini datangnya daripada pasukan yang beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Brazil iaitu Serie A dimana pasukan terakhir yang disertainya ialah Fortaleza Esporte Clube.

Jackson ketika beraksi bersama Fortaleza

Pemain yang turut mampu beraksi sebagai pertahanan kanan ini merupakan produk pasukan terkenal dari Brazil iaitu Sao Paulo. Sepanjang bergelar pemain profesional, Jackson hanya ‘mencari rezeki’ di negara sendiri dan Sabah menjadi pasukan luar negara yang pertama disertainya.

Dijangka Jackson akan menjadi taruhan utama pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee di bahagian pertahanan dengan bakal digandingkan samada pertahanan Republik Korea, Park Tae-su atau pemain tempatan, Dominic Tan.

Komen