Teka-teki mengenai siapa yang akan menjadi gandingan baharu bersama pemain bebas (independent) Goh Liu Ying, terjawab pada hari ini.
Menurut laporan portal akhbar berbangsa inggeris tempatan, The Star, pemain berusia 33 tahun itu meneruskan kariernya dengan membentuk gandingan bersama pemain beregu lelaki di ranking ke-11 dunia, Ong Yew Sin.
Dimaklumkan, gandingan baharu ini telah menghantar nama mereka untuk beraksi dalam dua saingan iaitu Terbuka Jerman dan Kejohanan Badminton Seluruh England yang akan berlangsung pada Mac hadapan.
Untuk makluman semua, Liu Ying merangkap pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 terpaksa mencari gandingan baharu selepas mengumumkam berpisah dengan rakan gandingannya sebelum ini, Chan Peng Soon.
Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang berlangsung di Bali, Indonesia pada tahun lalu menjadi pentas terakhir Liu Ying dan Peng Soon beraksi bersama.
Sementara itu, Yew Sin yang membentuk gandingan baharu bersama Liu Ying masih kekal bergandingan bersama Teo Ee Yi dalam kategori beregu lelaki. Ianya menjadikan Yew Sin bakal beraksi dalam dua kategori selepas daripada ini.
Featured Image: Instagram Goh Liu Ying