Ranking BWF: Juara Terbuka Odisha Khim Wah-Azriyn Catat Peningkatan 123 Anak Tangga
February 1, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan beregu lelaki negara, Lim Khim Wah dan Nur Mohd Azriyn meraih peningkatan yang memberangsangkan dalam kedudukan ranking dunia selepas muncul juara Terbuka Odisha, Ahad lalu.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Khim Wah-Azriyn berhasil mencatatkan peningkatan sebanyak 123 anak tangga sekaligus menghuni tangga ke-165 dunia, minggu ini.

Untuk makluman semua, ini merupakan ranking tertinggi pernah dicapai oleh Khim Wah-Azriyn sejak bergandingan bermula awal Januari lalu.

Chia Weijie dan Low Hang Yee di acara penyampaian hadiah Terbuka Ukraine.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Chia Weijie dan Low Hang Yee yang berjaya merangkul kejuaraan dalam saingan Terbuka Ukraine turut mencatatkan peningkatan yang mendadak.

Pasangan yang berusia 21 dan 24 tahun masing-masing ini meningkat sebanyak 101 anak tangga menjadikan mereka menduduki ranking ke-178 dunia, pada minggu ini.

Tangkap layar ranking BWF, minggu ini.

Tidak ketinggalan, beregu lelaki, Chang Yee Jun dan Yap Roy King yang mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Ukraine pula meningkat sebanyak 76 anak tangga dan berhasil meletakkan diri mereka di tangga ke-194 dunia.

Tiada perubahan melibatkan empat pasangan beregu utama negara di mana Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih kekal di kedudukan ke-7, ke-11, ke-17 dan ke-45 dunia.

Komen