Restoran Nasi Beriani Taja Penang FC Sebanyak RM100,000
February 1, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim lalu, Penang FC mendapat satu ‘hidangan’ lumayan daripada sebuah perusahaan restoran nasi beriani untuk mengharungi saingan musim ini.

Menerusi makluman rasmi, dimaklumkan Penang FC telah menjalinkan satu kerjasama dengan perusahaan restoran yang dikenali sebagai Bhai Biryani Sdn Bhd. Hasil kerjasama ini, skuad yang dikenali sebagai Harimau Kumbang ini menerima wang tajaan sebanyak RM100,000 daripada syarikat perusahaan terbabit.

Manakala syarikat perusahaan itu selaku penaja rasmi mendapat manfaat untuk mendekati pelbagai lapisan peminat pasukan yang dibimbing oleh Tomas Trucha bagi merangsang perniagaan atau perusahaan yang dijalankan mereka sepertimana yang disarankan oleh badan penganjur bola sepak negara, Malaysian Football League (MFL).

Wang tajaan tersebut disampaikan oleh wakil perusahaan restoran kepada pengurusan tertinggi Penang dalam satu majlis program penajaan yang diadakan beriringan dengan majlis perasmian Bhai Biryani cawangan Pulau Pinang yang bertempat di Lebuh King, Georgetown.

Majlis ini turut diserikan dengan kunjungan Yang Di-Pertua Negeri (YDP) Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak.

Komen