Artikel

Bekas Pengendali Beregu Wanita Negara Ketuai Kejurulatihan Badminton Filipina

Bekas ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak kini mengetuai barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Filipina dengan kontrak sehingga Sukan Olimpik 2024.

Perkembangan tersebut dilaporkan oleh akhbar tempatan berbahasa inggeris, New Straits Times, pada hari ini.

Untuk makluman semua, kontrak Rosman yang tamat pada penghujung tahun 2020 tidak disambung oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Sebenarnya, saya telah didekati oleh Persatuan Badminton Filipina awal tahun lalu. Bagaimanapun, disebabkan oleh kekangan Covid-19, kami tidak dapat memeterai perjanjian.

“Sehinggalah hujung tahun lalu, apabila sempadan antarabangsa dilonggarkan, saya berpindah ke Filipina.”

Rosman ketika melatih beregu wanita Malaysia

“Sebelum itu, saya hanya mengendalikan jabatan beregu tetapi di sini saya ditugaskan untuk semuanya. Persatuan turut memberikan saya mandat penuh untuk merangka pelan dan program buat skuad kebangsaan, jadi saya mengalu-alukan cabaran (itu) dan teruja berada di sini.” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar berkenaan.

Rosman merupakan individu yang bertanggungjawab melatih beregu wanita, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei sehingga meraih pingat emas Sukan Komanwel dan pingat gangsa Sukan Asia 2014. 

Selain itu, Rosman juga menjadi jurulatih kepada gandingan Vivian dan Chow Mei Kuan meraih pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2018. Terakhir, dia menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasangan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjuarai Terbuka Sweden 2021.

Dimaklumkan, kontrak Rosman turut disertakan dengan pilihan lanjutan sehingga ke Sukan Olimpik yang seterusnya iaitu edisi 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen