Penjaga gol yang pernah beraksi dalam divisyen tiga bola sepak Thailand (Thai League 3), Bryan See bersedia bersaing bagi merebut posisi No.1 dalam pasukan Melaka United FC.
Dua individu yang bakal menjadi saingan pemain berusia 29 tahun ini adalah penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali serta bekas rakan sepasukannya suatu masa dahulu, Ahmad Asyraaf Omar.
“Saya mahu cari cabaran baharu apabila ambil keputusan bersama Melaka (United) dan harap boleh mendapatkan tempat selaku penjaga gol utama di sini.
“Apa yang penting saya kena cepat sesuaikan diri selain beri tumpuan kepada prestasi sendiri kerana bukan mudah untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol yang tidak kurang hebatnya.

“Norazlan merupakan penjaga gol yang sangat berpengalaman manakala Asyraaf, saya sudah cukup mengenalinya sejak di PKNP, dia memang seorang yang berbakat.
“Cuma saya tidak nafikan gembira berpeluang berada dengan seorang penjaga gol seperti Norazlan yang telah melakar banyak kejayaan sepanjang kariernya, harap saya boleh pelajari sesuatu dengan dia,” katanya.
Untuk makluman semua, Bryan pernah beraksi dalam kancah bola sepak negara jiran tetangga dengan menyertai Bangkok FC selama setengah musim pada tahun 2019.
Kemudiannya, dia menyertai PDRM hampir dua musim sebelum direkut Penang FC pada tahun 2021. Semasa di Penang, Bryan banyak bertindak selaku pilihan kedua di belakang Samuel Somerville namun telah menampilkan prestasi cemerlang tiap kali diturunkan terutama dalam saingan Liga Super.
Featured Image: Bangkok FC