Bakal Pemain JDT Mahu Bantu Casagrande Jaring Lebih Banyak Gol
February 3, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain tengah yang bakal direkrut oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick Dos Santos memasang hasrat untuk membantu barisan penyerang Penang FC menjaringkan lebih banyak gol musim ini.

Walaupun tugas utamanya adalah mencipta peluang untuk membolehkan pemain seperti Casagrande menjaringkan gol namun pemain berusia 26 tahun ini turut berharap dapat menghasilkan gol bagi membantu pasukannya meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

Kemampuan Endrick untuk menjaringkan gol tidak dapat disangkal lagi. Untuk makluman semua, pemain tengah kelahiran Brazil ini telah merekodkan 18 gol secara keseluruhan sejak beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 2018.

Endrick dos Santos

“Saya menjaringkan lebih banyak gol (8 gol) pada musim 2020 berbanding tahun lepas di mana hanya empat gol sahaja dilakukan.

“Tetapi sebenarnya tugas saya adalah untuk memberi peluang kepada penyerang seperti Casagrande untuk dia melakukan jaringan dan tahun lepas saya tidak banyak peluang sebab kami ubah sedikit corak bermain.

“Jadi, agak sukar untuk saya lebih dekat dengan Casagrande ketika perlawanan dan harap musim ini dapat bersama dengan lebih kerap untuk saya bantu dia dan penyerang lain”, katanya.

Penghujung tahun lalu, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest memaklumkan pihaknya akan merekrut Endrick untuk tahun 2023 dengan kemungkinan untuk menaturalisasikan pemain ini.

Juara Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut itu telah membuat keputusan untuk menaturalisasikan pemain yang masih muda dan boleh memberi sumbangan untuk jangka masa panjang.

Sebagai tambahan, Endrick mula beraksi di negara ini dengan menyertai Felcra FC sebelum menyertai pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor pada tahun 2019.

Kemudiannya, pemain ini membuat keputusan berhijrah ke pasukan Penang pada tahun 2020 yang membantu skuad Harimau Kumbang ini meraih promosi ke saingan Liga Super 2021.

Featured Image: Penang FC

Komen