Selangor Dapat Tajaan RM3.5 Juta Daripada Syarikat Makanan & Minuman Kesihatan
February 4, 2022 Hafizuddin Omar

Sebuah syarikat berasaskan produk makanan dan minuman kesihatan, TDC Holdings memberikan tajaan bernilai RM3.5 juta kepada pasukan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Penajaan tersebut menjadikan TDC Holdings salah satu penaja utama skuad Red Giants pada musim ini. Pengumuman penajaan itu dihebahkan menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab tersebut, semalam.

“Kami berbesar hati menerima TDC sebagai penaja dengan jumlah tajaan RM3 juta untuk musim ini selain RM500,000 lagi dalam bentuk barangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Hasil daripada penajaan ini, penjenamaan TDC dan salah satu produk baharu yang akan dilancarkan, Alithera akan dipaparkan di jersi latihan, stadium, media sosial dan platform milik Selangor FC.

Selain itu, jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak bukan sahaja menerusi penajaan malahan turut bekerjasama menerusi program-program yang akan diadakan kelak. 

Program pertama yang dianjurkan bersama antara TDC Holdings dan Selangor FC adalah ‘Let’s Cope with A Neon Hope’ yang diadakan bersempena dengan ‘Hari Kanser Sedunia’ pada hari ini (4hb Februari).

Featured Image: Selangor FC

Komen