Pemain Kacukan Jerman-Malaysia Sedang Berunding Untuk Sertai Pasukan Liga Lithuania
February 4, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain tengah kacukan Jerman-Malaysia, Armin Maier mendedahkan dirinya berada di Lithuania dan sedang dalam perbincangan dengan pasukan yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak negara tersebut.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pemain berusia 24 tahun merangkap bekas pemain Selangor 2 dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) tersebut menerusi Instagram Story-nya, semalam.

Tangkap layar Instagram Story Armin Maier

Berdasarkan perkongsian di laman sosialnya, dia memberikan bayangan sedang berbincang dengan pasukan FK Suduva yang merupakan naib juara A Lyga, pada musim lalu.

Pada masa yang sama, Armin sempat menafikan khabar angin yang mengaitkannya untuk menyertai pasukan Liga Premier, Perak FC untuk musim 2022.

Bagaimanapun, Armin menjelaskan dirinya hampir menyertai skuad Bos Gaurus pada musim lalu apabila dia bertemu dengan pegawai Perak FC pada Jun 2021. Namun, tiada persepakatan dapat dicapai antara kedua-dua pihak ekoran kekangan kewangan dihadapi Perak FC.

Untuk makluman semua, Armin mempunyai darah keturunan Malaysia menerusi susur galur daripada ibunya manakala bapanya merupakan kelahiran Jerman.

Komen