Artikel

Warna Fuchsia & Riben Kanser Serikan Jersi ‘Away’ Selangor FC 2022

Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia, Selangor FC melancarkan jersi ‘away’ keluaran Joma dalam satu majlis pelancaran dan acara ‘Let’s Cope With A Neon Hope’ yang diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre, pada hari ini.

Rekaan jersi ‘away’ Selangor pada kali ini hadir dengan warna ‘teal’ dan ‘fuchsia’. Untuk pengetahuan semua, ‘teal’ merupakan warna biru kehijauan. Sementara itu, ‘fuchsia’ pula adalah warna merah keunguan.

Di bahagian hadapan jersi, tertera logo penaja utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan jenama salah satu produk TDC Holdings, Alithera. Manakala di bahagian belakang, terpapar logo riben kanser yang dijadikan sebagai simbol rasmi jersi ‘away’ ini.

“Penggunaan riben kanser sebagai simbol utama di belakang jersi ‘away’ 2022 menunjukkan sokongan Selangor FC kepada mereka yang sedang mengharungi kanser dengan harapan kempen ini dapat menyebarkan kesedaran tentang penyakit itu kepada orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Menurut makluman kelab, warna ‘teal’ pada jersi ini membawa maksud pembaharuan manakala ‘fuchsia’ pula membawa maskud berani, bersemangat serta yakin untuk berjuang dalam menempuh segala cabaran. Warna ‘ivory’ pula membawa maksud kesucian dan ketenangan dalam perjuangan.

Buat peminat dan penyokong skuad Red Giants, jersi ‘away’ ini boleh didapati di laman sesawang rasmi kelab, selangorfc.com dengan harga RM119.00 sehelai. Dimaklumkan, setiap penjualan jersi ‘away’ ini, pihak pengurusan Selangor FC akan menyumbangkan sebanyak RM5 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk membantu mereka meneruskan usaha menangani kanser di negara ini.

komen