Artikel

Kenali Jeffrey & Aruwin Wakil Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 membuka tirai dengan upacara perasmian di Stadium Nasional, Beijing atau nama tersohornya Sarang Burung, pada hari ini.

Kebiasaannya temasya ini disertai negara-negara yang mengalami musim sejuk serta menerima salji namun tahukah anda ini merupakan penampilan kali kedua Malaysia dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk. 

Baca: RTM Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022

Kontinjen Malaysia pada edisi kali ini akan diwakili oleh dua atlet – bilangan yang sama seperti di temasya yang lalu – iaitu Jeffrey Webb dan Aruwin Idami Salehhuddin.

Berikut kami bawakan kepada anda sedikit latar belakang dua atlet negara yang akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 ini agar dapat dikenali dengan lebih dekat:

#1 Jeffrey Webb

Umur: 23 tahun 

Acara: Ski Alpine Lelaki

Kategori: Slalom Lelaki

Mula meluncur di atas salji semenjak berusia 5 tahun, Jeffrey yang berpangkalan di Amerika Syarikat terlibat aktif dalam sukan ini termasuk menyertai pelbagai acara atau kejohanan kelolaan Persekutuan Luncur Antarabangsa (FIS) di Amerika dan Kanada. Selain itu, Jeffrey merupakan salah seorang atlet Malaysia yang mengambil bahagian dalam temasya Sukan Asia Musim Sejuk 2017. Manakala, di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk, ini merupakan penampilan keduanya. Pada penampilan sulung yang berlangsung di PyeongChang, Republik Korea pada tahun 2018 yang lalu, Jeffrey beraksi dalam kategori giant slalom lelaki dan menamatkan acara tersebut di kedudukan ke-68.

#2 Aruwin Idami Salehhuddin

Umur: 17 tahun 

Acara: Ski Alpine Wanita

Kategori: Slalom & Giant Slalom Wanita

Aruwin yang turut berpangkalan di Amerika Syarikat ini mencipta sejarah dengan menjadi atlet wanita pertama dan termuda yang mewakili Malaysia di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk. Dikatakan dia mula berjinak dengan luncur salji sejak berusia 2 tahun dan mula menyertai kelab luncur salji ketika berumur 5 tahun. Sepertima Jeffrey, atlet muda ini giat menyertai pelbagai acara dan kejohanan di bawah kelolaan FIS terutamanya di eropah. Untuk makluman semua, ini merupakan penampilan pertama Aruwin di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

komen