Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bertindak melanjutkan kontrak ketua jurulatih yang berjaya membawa skuad Gajah Perang memenangi Piala AFF Suzuki 2020, Alexandre ‘Mano’ Polking sehingga tahun 2023.
Jurulatih Brazil-Jerman yang berusia 45 tahun itu menandatangani kontrak lanjutan tersebut sambil disaksikan oleh Presiden FAT, Somyot Poompunmuang dalam satu majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat FAT, semalam.
“Saya amat gembira dengan kontrak baharu. Memenangi Piala AFF hanyalah (satu) permulaan. Ini merupakan kerja yang diimpikan saya selepas menetap di Thailand sejak sekian lama. Saya sangat gembira untuk terus bekerja di sini.” kata Polking seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Sasaran utama Polking pada tahun ini adalah melepasi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung pada Jun nanti sekaligus menempah tiket ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada 2023 kelak.
Antara agendanya yang lain adalah kejohanan Piala AFF 2022 yang bakal berlangsung di penghujung tahun ini serta perlawanan-perlawanan antarabangsa pada rehat antarabangsa FIFA.
Untuk makluman semua, Polking mula dilantik sebagai ketua jurulatih Thailand pada September 2021. Kehadirannya adalah untuk menggantikan jurulatih Jepun, Akira Nishino yang ditamatkan kontrak ekoran tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara itu.
Featured Image: Changsuek