Ekoran Kesan Sampingan Kemoterapi, Brendan Perlu 4-6 Minggu Lagi Untuk Capai Tahap Kecergasan Terbaik
February 6, 2022 Hafizuddin Omar

Kapten Selangor FC, Brendan Gan dilihat telah kembali menyertai latihan bersama pasukan namun memerlukan tempoh sekurang-kurangnya antara 4-6 minggu lagi untuk mencapai tahap kecergasan terbaiknya sebelum dapat kembali beraksi di atas padang pada musim ini.

Pemain kacukan Australia-Malaysia itu dimaklumkan oleh kelabnya menghidap kanser testis pada pertengahan tahun lepas. Bagaimanapun, setelah menjalani pembedahan dan rawatan, Brendan yang juga pemain skuad kebangsaan berjaya pulih daripada kanser tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menerangkan tempoh itu diperlukan ekoran daripada kesan sampingan rawatan kemoterapi yang dijalani oleh Brendan sebelum ini.

Dr. Johan Kamal Hamidon

“Alhamdulillah Brendan sudah pulih daripada penyakit (kanser) ini.” 

“Cabaran tersebar beliau adalah untuk mendapatkan kecergasan seperti sebelum ini kerana disebabkan kemoterapi, pernafasan dan kapasiti paru-parunya berkurangan kerana kesan sampingan (rawatan itu),” katanya dalam sidang media selepas acara ‘Let’s Cope With A Neon Hope’ yang bersekali dengan pelancaran jersi ‘away’ baru-baru ini.

“Tetapi, Alhamdulillah, sejak dua bulan lepas beliau bertungkus lumus, memang (dilihat) bergelut untuk mendapatkan (tahap) kecergasannya dan benda ini akan mengambil masa lagi,” 

“Insya-Allah, dalam (tempoh) sebulan hingga enam minggu mungkin akan berada di tahap paling baik atau sama baik dengan sebelum ini.” tambahnya lagi.

Brendan Gan

Dr. Johan bukan sahaja berkeyakinan bahawa Brendan dapat kembali bermain di atas padang bahkan meyakini pemain ini akan memainkan peranan penting untuk memacu skuad Red Giants mencapai sasaran yang ditetapkan pada musim ini.

“Insya-Allah beliau akan terlibat pada musim ini, dan beliau akan memainkan peranan yang sangat penting dan bersedia untuk musim ini yang akan bermula pada bulan Mac nanti. Jadi, saya yakin dan percaya beliau akan kembali dan membuat ‘come back’ awal musim ini,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Dr. Johan memaklumkan Selangor menyasarkan untuk layak ke saingan peringkat asia pada tahun hadapan. Oleh demikian, Selangor perlu menamatkan saingan Liga Super 2022 di dua tempat teratas atau muncul juara dalam saingan Piala FA.

Featured Image: Selangor FC

Komen