Artikel

Annuar Musa Sahkan RTM Runding Hak Penyiaran Piala Dunia 2022

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengadakan rundingan untuk mendapatkan hak penyiaran bagi kejohanan bola sepak, Piala Dunia 2022 Qatar yang akan berlangsung November kelak.

Menurut laporan akhbar tempatan Berita Harian, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh menyatakan hasil rundingan dengan ejen yang dilantik oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Tan Sri Annuar Musa

“Secara prinsip kita sudah bersetuju untuk RTM membuat rundingan dengan ejen yang dilantik oleh FIFA bagi siaran Piala Dunia 2022.” 

“Insya-Allah kita perlu sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya, tetapi sudah pasti RTM akan menjadi satu daripada saluran yang akan menyiarkan Piala Dunia 2022. Hasil rundingan akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

Untuk pengetahuan semua, stesen penyiaran milik kerajaan ini telah menyiarkan kejohanan bola sepak paling berprestij secara percuma bermula edisi kesepuluh yang berlangsung di Jerman Barat pada tahun 1974 kecuali edisi Piala Dunia 1986 Mexico.

komen