Pemain England, Argentina Dalam Proses Dapat MyKad & Didaftarkan Sebagai Pemain Lokal Sri Pahang
February 7, 2022 Hafizuddin Omar

Setelah beraksi selama lima tahun dalam kancah bola sepak tempatan, pemain tengah dan penyerang Sri Pahang yang merupakan kelahiran England dan Argentina iaitu Lee Andrew Tuck dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero bakal mendapat kerakyatan Malaysia.

Menurut laporan portal Stadium Astro, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan proses naturalisasi melibatkan Lee Tuck dan Aguero itu sekaligus khidmat mereka dapat didaftarkan oleh Sri Pahang sebagai pemain lokal pada musim ini.

Saifuddin Abu Bakar

Untuk makluman semua, FAM telah membekukan projek naturaliasasinya selepas memberikan kerakyatan kepada Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula untuk digunakan khidmat mereka bersama skuad kebangsaan. 

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menjelaskan badan induk bola sepak negara tidak menghalang persatuan atau kelab bola sepak untuk menaturalisasikan mana-mana pemain mereka.

Namun penggunaan khidmat mereka dalam Harimau Malaya selepas daripada ini bergantung kepada percaturan daripada ketua jurulatih, Kim Pan-gon. 

Sergio Aguero ketika beraksi bersama Perak FC sebagai pemain pinjaman, musim lalu.

“Tapi tiada jaminan mereka akan diserapkan dalam pasukan kebangsaan. Kehadiran mereka (pemain naturalisasi) boleh dikatakan tidak dibekukan tetapi (keperluan menggunakan) khidmat pemain naturalisasi terpulang kepada jurulatih negara,” katanya seperti dipetik daripada portal berkenaan.

Sebagai rekod, selain daripada bakal dua pemain naturalisasi itu, skuad Sri Pahang turut dibarisi dua pemain berdarah campuran atau warisan iaitu David Rowley dan Nicholas Swirad.

Sementara itu, lima pemain importnya pula ialah Billy Ketkeophomphone (Laos-Perancis), Mahmoud Zatara (Jordan), Manuel Hidalgo (Argentina), Johan Martial (Perancis) dan Mamadou Samassa (Mali-Perancis).

Featured Image: Perak FC & Sri Pahang

Komen