TV9 Siar Secara Langsung Aksi Harimau Muda Di Kejuaraan AFF B-23
February 7, 2022 Hafizuddin Omar

Persembahan skuad Harimau Muda kendalian Brad Maloney di pentas Kejuaraan AFF Bawah 23 Tahun (B-23) yang berlangsung bermula 14-26 Februari kelak akan dapat ditonton secara langsung menerusi saluran televisyen percuma tempatan, TV9.

Makluman mengenai perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh TV9 menerusi satu hantaran di pelbagai laman sosialnya, semalam.

Untuk makluman semua, untuk kejohanan yang bakal berlangsung di Phnom Penh, Kemboja ini, skuad Harimau Muda telah diundi bersama-sama Myanmar, Laos dan Indonesia di dalam Kumpulan B.

Bagi mengharungi kejohanan ini, Coach Brad telah memanggil 30 pemain untuk menyertai kem latihan pusat sejak 27 Januari lalu untuk mempersiapkan pasukan.

Mereka juga telah melalui satu perlawanan persahabatan dengan menentang skuad Liga Super, Sabah FC pada Sabtu lalu dimana keputusannya berakhir dengan seri 1-1 hasil jaringan T. Saravanan dan Stuart Wilkins.

Khamis nanti, skuad Harimau Muda ini akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bola Sepak Cheras.

Skuad Harimau Muda dijadualkan berlepas ke Kemboja pada 12 Februari hadapan.

Komen