Hukum? Gantung? Kalau TMJ Nak Pergi Stadium Tengok Bola Di Johor Siapa Berani Tahan?
February 7, 2022 Hafizuddin Omar

Sekiranya pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) dikenakan hukuman gantung daripada sebarang aktiviti bola sepak, siapakah yang berani menahan baginda daripada berbuat demikian?

Persoalan ini diutarakan oleh pemilik Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya hari ini, mengenai isu hukuman kepada Tunku Ismail setelah mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya dalam satu temu ramah, baru-baru ini.

Tangkap layar hantaran Facebook milik Norizam Tukiman.

“Kalau nak gantung pun, fikir la betul-betul logik ke tak? Baginda Tunku Mahkota Johor (TMJ), kalau nak pergi stadium kat Johor tengok bola ada sesiapa berani nak tahan?” tulis pemilik yang turut dikenali sebagai Zamsaham itu.

“Baginda juga pemilik JDT yang terlibat dalam uruskan pasukan. Ingat technical director (TD), sporting director, manager (pengurus) dan semua kat sana akan buat keputusan tanpa rujuk kepada TMJ?” 

“Jadi apa guna kalau gantung? Memang tiada faedah. Sebab baginda ada ‘spirit’ dalam kemajuan bola sepak JDT. Kita patut fikir dengan logik dan terima pandangan TMJ. Takkan kritikan yang konstruktif pun tak nak terima?” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, Norizam turut menyoal kewajaran hukuman kepada pemilik kelab apabila mengkritik atau memberikan pandangan terhadap bola sepak Malaysia.

“Kita kritik bukan sekadar kritik untuk cari publisiti. Ada sebab kita bercakap. Lebih-lebih lagi, hari ni kita memasuki era penswastaan. Bagilah ruang masa nak bermula ni.” ujarnya.

Awal Februari ini, sebuah akbar tempatan melaporkan bekas pemain kebangsaan, Khalid Alid mempersoalkan mengapa tiada tindakan oleh FAM dikenakan ke atas TMJ selaku pemilik kelab apabila melontarkan kritikan terbabit berdasarkan beberapa klausa dalam Statut FAM.

Sedangkan beberapa jurulatih mahupun pegawai telah dikenakan hukuman sebagai contoh digantung daripada terlibat sebarang aktiviti melibatkan bola sepak ekoran mengeluarkan kenyataan kepada FAM.

Bagaimanapun, FAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Saaran Nadarajah memaklumkan TMJ ‘terlepas’ daripada sebarang hukuman kerana memberikan kritikan membina untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak negara.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen