Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim lepas, Penang FC memilih pertahanan kacukan Itali-Filipina untuk mengisi slot pemain import ASEAN bagi mengharungi saingan musim ini.
Menerusi makluman di pelbagai platform media sosial milik skuad Harimau Kumbang itu, pemain kacukan baharu yang dimaksudkan ialah Christian Rontini atau dikenali sebagai Ronta, berusia 22 tahun, yang lahir di Bagno a Ripoli, Itali.
Untuk makluman semua, Ronta menjadi pemain berdarah kacukan menerusi bapanya yang berbangsa Itali manakala ibunya berkerakyatan Filipina.
Difahamkan, Ronta memulakan karier bola sepaknya dalam saingan bola sepak Itali. Berdasarkan rekod, dia memulakan karier profesional bersama pasukan Serie D atau E pada tahun 2018.
Tidak lama kemudian, dia mengembangkan kariernya dengan menyertai Pasukan Pembangunan Azkals (ADT) yang beraksi dalam kancah bola sepak Filipina pada tahun 2020.
Untuk pengetahuan tambahan, Ronta merupakan sebahagian daripada skuad Filipina Bawah 23 Tahun (B-23) yang beraksi di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.
Selain itu, semasa berusia 19 tahun, Ronta berhasil meraih debut bersama skuad senior Filipina ketika menentang China dalam satu perlawanan antarabangsa pada tahun 2019.
Diyakini, Ronta ditandatangani oleh skuad Penang bimbingan Tomas Trucha pada jendela perpindahan kali ini untuk menggantikan Ryuji Utoma, pertahanan kacukan Indonesia-Jepun yang telah kembali bersama kelab lamanya, Persija Jakarta.
Featured Image: Azkals Development Team