Artikel

Pemain 41 Tahun Mahu Tunai Impian Irfan Bawa Kuching City Ke Liga Super

Perkhabaran mengenai ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti yang mahu bersara pada penghujung musim ini mengejutkan serta menyedihkan ramai pihak termasuk pertahanan berusia 41 tahun, Rames Lai Ben Huat.

Justeru, pertahanan berpengalaman skuad The Cats ini berhasrat untuk menunaikan impian jurulatih berusia 70 tahun itu untuk membawa Kuching City ke saingan Liga Super 2023 sebagai hadiah persaraannya kelak.

Rames turut berkeyakinan ‘hadiah’ ini dapat dijelmakan dalam saingan Liga Premier 2022. Keyakinan itu hadir atas faktor persiapan pasukan yang telah menandatangani beberapa pemain tempatan dan import berkaliber.

Baca: 2022 Jadi Tahun Terakhir Irfan Bakti Bergelar ‘Coach’ Bola Sepak

“Saya akui sedih apabila mengetahui hasrat beliau untuk bersara selepas musim 2022 berakhir dan sememangnya itu memang sedikit mengejutkan kerana hanya ketahui dari pembacaan di media sosial.

“Beliau sendiri telah menyatakan hasrat untuk membawa pasukan ke Liga Super sebelum bersara dan saya rasa ini satu kesempatan terbaik buat kami untuk berikan hadiah persaraan buat Irfan.

“Banyak perkara positif berlaku dalam pasukan sejak kehadiran beliau dan boleh dilihat Kuching City berjaya konsisten dengan menduduki tempat kelima di Liga Premier.

“Melihat kepada persiapan pasukan dan tambahan pemain yang hadir, saya rasa hasrat itu boleh dicapai malah saya cukup gembira melihat komitmen pemain-pemain muda yang baharu diserap dari skuad Piala Presiden,” katanya.

Antara pemain tempatan baharu yang ditandatangani Kuching City ialah Hidhir Idris (pinjaman dari Kedah Darul Aman FC), Shaiful Wazizi (Sarawak United FC) dan Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman (Penang FC). 

Bagi pemain import pula, Kuching City telah mengekalkan Aylton Alemao dan Yuki Tanigawa. Bagi pemain import baharu, mereka telah mengikat penyerang skuad kebangsaan Liberia, Abu Kamara.

Sementara itu, Rames yang bakal menginjak usia 42 tahun pada April nanti mengakui tidak mempunyai masalah untuk terus beraksi di atas padang musim ini. Bukan itu sahaja, dia turut berkeyakinan untuk terus bermain untuk tempoh beberapa musim lagi.

Berdasarkan rekod, Rames meraih 24 penampilan secara keseluruhan dalam saingan Liga Premier dan Piala Malaysia musim lalu.

komen